RESEPI 101: KERJA MAKAN GAJI ATAU KERJA SENDIRI.. APA PILIHAN ANDA?
- Tuan Faizal Aris
- Apr 5, 2016
- 3 min read
Salam Bahagia, Kaya dan Beragama.
Saya Faizal Aris,
Semua manusia di dunia ini perlu bekerja bagi mencari nafkah dan membolehkan dia terus 'survive'. Apabila bekerja sudah pasti anda mahu diberi ganjaran apabila selesai melaksanakan kerja tersebut. Ganjaran yang diminta selalunya berupa wang sejumlah tertentu seperti mana perjanjian yang telah termeterai sebelum pekerjaan tersebut dilaksanakan. Ini adalah asas kepada kontrak pekerjaan di dunia ini. Kerja makan gaji atau kerja sendiri.. Apa pilihan anda?. Sebelum itu anda perlu tahu definasi bagi kedua-dua istilah ini.
DEFINASI KERJA MAKAN GAJI
Maksudnya bekerja di bawah orang lain sama ada dalam sektor awam atau swasta. Sektor awam seperti jabatan-jabatan di bawah naungan kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri, sekolah rendah, sekolah kebangsaan, universiti dan sebagainya. Sektor swasta pula contohnya bekerja di syarikat-syarikat Berhad, Sendirian Berhad atau Enterprise. Makan gaji bererti bekerja untuk majikan di mana majikan akan memberikan upah yang tetap pada setiap hujung bulan. Si pekerja pula tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan dengan upah yang diberikan.
DEFINASI KERJA SENDIRI
bekerja sendiri pula maksudnya mereka perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat membayar upah kepada diri mereka sendiri. Mungkin mereka tahu dan tidak tahu berapa upah yang mereka perlukan setiap bulan, ini kerana mereka bekerja untuk hidup. Mereka tidak bergantung kepada majikan, mereka tidak bergantung kepada pekerja, mereka bergantung kepada diri sendiri.
Baiklah sekarang anda sudah nampak perbezaan diantara bekerja makan gaji dan bekerja sendiri. Mari anda lihat pula sifat bagi kedua-duanya.
SIFAT KERJA MAKAN GAJI
1. Masa Ditetapkan: Selalunya sekitar 8.00 pagi sehingga 6.00 petang. Biasanya 5 atau 6 hari seminggu.
2. Pendapatan Tetap: Setiap hujung bulan atau minggu ke-4 setiap bulan, gaji akan diberikan. Kadangkala, terdapat kenaikan pangkat yang menuntut kenaikan gaji.
3. Cuti Tahunan: Cuti anda ada kadar tertentu yang telah ditetapkan setahun, tidak boleh cuti
sesuka hati.
4. Tempat Kerja Ditetapkan: Tempat kerja ditetapkan, mungkin jauh daripada rumah atau dekat.
5. Tugasan telah ditetapkan, suka atau tidak ia perlu disiapkan mengikut masa tertentu.
6. Perlu akur pada arahan majikan dari masa ke semasa.
7. Tidak perlu risau pada keadaan semasa kerana yang perlu risau ialah majikan anda dan
bukannya anda.
8. Ramai kawan. Perjalanan hidup yang ceria.
SIFAT BEKERJA SENDIRI
1. Masa Bebas: Terserah kepada individu.
2. Pendapatan Tidak Menentu: Gaji mengikut usaha. Naik turun keuntungan bergantung kepada
kerajinan dan perancangan perniagaan.
3. Cuti Harian: Tidak perlu risau perihal cuti kerana diri sendiri yang tetapkan.
4.Tempat kerja sendiri: Bebas menetapkan lokasi tempat kerja, sama ada di rumah atau di
tempat lain yang berdekatan.
5. Anda yang memilih tugasan yang mahu dilaksanakan. Tiada paksaan.
6. Tiada arahan dari majikan sebab anda mungkin bakal majikan.
7. Perlu risau pada keadaan semasa.
8. Anda rajin anda berjaya, anda malas anda hancur.
9. Perlu ada pengetahuan yang lebih dari biasa seperti pengetahuan pengurusan, kewangan,
pemasaran, produk, perkhidmatan, undang-undang dan lain-lain lagi.
10. kawan Kurang. Perjalanan hidup yang sunyi.
Baiklah sekarang anda sudah nampak perbezaan sifat diantara bekerja makan gaji dan bekerja sendiri. Bekerja makan gaji mempunyai risiko yang kurang manakala kerja sendiri mempunyai risiko yang tinggi. Tetapi rata-rata diantara kita mahu bekerja sendiri kerana sejarah telah membuktikan si Millionair adalah datang dari kalangan yang bekerja sendiri dan bukan sama sekali datang dari mereka yang bekerja makan gaji. Nah.. sekali lagi teori kegilaan manusia telah dirujuk kepada jumlah wang yang diterima.. betul tak?.
Setiap manusia diberi sikap dan kekuatan fizikal & mental yang berbeza-beza. Ada manusia yang tidak suka akan risiko tambahan lagi melibatkan wang ringgit, manakala ada manusia yang suka akan risiko kerana mereka percaya bahawa high risk, high profit. Ada manusia yang gemar kepada kehidupan yang stabil dan tidak perlu berfikir banyak, manakala ada manusia yang mahu kehidupan yang tidak linear. Ada manusia tidak gemar kepada cabaran kerana cabaran ini kadang kalanya menyusahkan dan ada yang suka cabaran kerana individu ini merasakan cabaran ialah enjoy bagi mereka. Ada individu yang telah dilahirkan mempunyai sikap dan potensi diri sebagai intrapreneur contohnya kerani, pekerja industri, kakitangan kerajaan, pekerja ladang, pegawai-pegawai malah Perdana Menteri juga berada didalam golongan ini. Ada pula yang dilahirkan mempunyai potensi dan sikap entrapreneur contohnya seperti Makcik nasi lemak, individu yang ambil upah ambil buah kelapa hinggalah kepada tokoh-tokoh terkenal seperti Bill Gates, Steve Job, Jack Ma, Syed Bukhari dan lain-lain lagi.
KESIMPULAN
Makan gaji atau bekerja sendiri bukan menjadi soalnya. Sebenarnya, ia bukanlah sesuatu perkara yang penting untuk menentukan yang mana lebih baik, asalkan anda gembira dengan apa yang anda lakukan. Itu lah yang lebih baik. Ramai orang amat gembira untuk bekerja makan gaji. Mereka suka dengan kerja yang mereka lakukan, mereka gembira dengan semua rakan-rakan di tempat kerja dan mereka hidup gembira dengan keadaan itu. Dan sesetengah orang pula, sangat gembira menjalankan perniagaan sendiri, mereka bebas melakukan apa yang mereka suka lakukan, mereka gembira dengan hasil pendapatan yang mereka perolehi dan mereka hidup gembira dengan keadaan itu.
Sampai kita berjumpa lagi. Salam bahagia, kaya dan beragama.
AMALI: Ambil masa sebentar, renungkan diri anda.. kaji potensi anda dan letakkan anda didalam
situasi kerja anda sekarang. Adakah anda Gembira?
Comments